Orang Melayu perlu mengutamakan bahasa sendiri dahulu sebelum mempelajari bahasa lain seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, seandainya ia tidak dipatuhi, salah satu faktor kekuatan Melayu dalam menguasai bahasa sendiri dilihat akan pincang dan tidak sempurna.

"Ikut manapun orang Melayu mesti fasih berbahasa ibunda dahulu, baru ikhtiar berbahasa Inggeris dengan baik.

"Jika ini tidak dipatuhi, Melayu tidak lengkap dari segi Perlembagaan yang tertulis di dalam Perlembagaan Malaysia.

"Orang Melayu mesti tampil menunjukkan kemampuan dan bercakap dalam bahasa Melayu dahulu, jika tidak kemelayuan kita akan hilang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Rais mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaku berasa malu apabila melihat kaum Cina lebih fasih dalam pertuturan bahasa Inggeris berbanding kaum Melayu.

Katanya, orang Melayu yang belajar hanya bahasa Melayu dan Inggeris disifatkan cepat 'puas' berbanding kaum Cina yang belajar tiga bahasa.

Bagaimanapun, ujar Rais, orang Melayu juga sudah membuktikan kemampuan sebagai penutur bahasa Inggeris yang fasih selain menyifatkan keutamaan kedua-dua bahasa perlu diberi perhatian sekali gus.

"Induksi pembelajaran bahasa Melayu dan induksi bahasa Inggeris perlu berjalan serentak.

"Pandangan Dr Mahathir boleh diterima tetapi orang Melayu mesti tampil dan menunjukkan mereka boleh bercakap dalam bahasa Melayu dahulu selain sedar untuk bertutur dengan betul," jelasnya.

Pandangan sama turut diluahkan tokoh budaya dan bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah A. Karim yang menyifatkan perlunya seseorang itu memantapkan penguasaan bahasa ibundanya sebelum menguasai bahasa lain.

"Kita boleh puji orang Cina di dalam penguasaan bahasa Inggeris namun puji melambung juga tidak mendatangkan sebarang impak.

"Jika tahap penguasaan bahasa sendiri mengecewakan jadi tidak ada guna untuk menguasai bahasa lain," ujarnya.

Namun jelasnya, seandainya diberi peluang, setiap individu perlu menguasai lebih daripada dua bahasa selain sentiasa mempunyai keinginan untuk mempelajari bahasa ketiga.

Sementara itu, Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong menyifatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan kaum Cina juga sebenarnya tidak begitu baik.

"Orang Cina juga tidak berapa baik dalam berbahasa Inggeris, tetapi mungkin secara umumnya orang Melayu sedikit rendah kerana sikap orang Melayu sendiri.

"Kita perlu membuat penyelidikan dan mengkaji tahap sebenar penguasaan orang Melayu di dalam bahasa Inggeris," katanya.