Seorang lelaki ‘terkejut’ apabila rumahnya cuba dipecah masuk oleh seorang lelaki dalam keadaan berbogel di Jalan Gombak Batu 6, Gombak.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Arsad Kamaruddin kejadian dipercayai berlaku pukul 3 pagi pada Rabu.

“Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang berehat di tingkat atas rumahnya dan terdengar sesuatu dari tingkat bawah.

“Mangsa telah lihat di bawah dan ternampak kelibat seorang lelaki dalam keadaan berbogel cuba mengumpil tingkap depan rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Arsad berkata mangsa telah menjerit membuatkan suspek melarikan diri ke arah jalan utama sebelum menghilangkan diri.

“Mangsa telah lihat semula rakaman litar tertutup (CCTV) yang terdapat pada rumahnya dan mendapati suspek datang berseorangan dan telah cuba untuk pecah masuk melalui tingkat depan rumah. Rakaman CCTV disertakan,” jelasnya.

Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.