Lebih ruang hijau dan kurangkan kompleks beli belah menjadi aspirasi yang paling mendapat perhatian orang muda dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu, ia mendorong kerajaan di peringkat jemaah menteri bagi mengehadkan sementara kelulusan pusat beli belah baharu di Kuala Lumpur.

Katanya, model pembangunan perumahan berkualiti dengan kemudahan kawasan lapang untuk sukan, riadah dan rekreasi menjadi pilihan orang muda menjelang tahun 2050.

"Orang muda sekarang banyak membeli belah secara online, jadi mereka mahukan lebih kawasan terbuka untuk beriadah.

"Sebab itulah Bandar Elmina dipilih sebagai projek yang dibangunkan sektor swasta, yang selari dengan aspirasi TN50.

"Diharap ia dapat memberi sedikit sebanyak kepada kerajaan untuk melihat semula kepada peraturan-peraturan dan undang-undang, terutama di peringkat kerajaan tempatan untuk kita jaga, pelihara dan galakkan lebih lagi kawasan lapang," katanya pada sidang media selepas melancarkan Bandar Elmina - Perbandaran Masa Depan pada Selasa.

Jelasnya, corak pembangunan yang ada sekarang sangat tidak menepati aspirasi orang muda malah kualiti kawasan lapang yang ada pun bagai melepaskan batuk di tangga.

"Menjelang 2050, kualiti kehidupan menjadi sangat penting.

"Selama ni bukan tiada langsung kawasan terbuka, malah taman-taman perumahan diwajibkan untuk sediakan kawasan lapang. Cuma dari segi kualiti, penyelenggaraan serta pelaksanaannya amat berbeza," jelasnya.

Majlis pelancaran turut dihadiri Penasihat Lembaga Pemegang Amanah Pusat Penyelidikan dan Pemulihan Hutan Hujan Tropika Berhad (TRCRC), Tun Abdullah Ahmad Badawi, Pengerusi TRCRC, Tun Jeanne Abdullah, Pengerusi Sime Darby Property Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Unit Khas TN50, Johan Mahmood Merican dan Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Pada majlis berkenaan, Khairy turut menanam kapsul masa yang mengandungi himpunan mesej yang hanya akan dibuka pada 2050 di Taman Komuniti TN50 Elmina.