Ibu bapa dan penjaga digesa menasihati anak-anak mereka supaya menjauhi kawasan larangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini pada cuti persekolahan yang bermula minggu ini.

Ketua (Perhubungan Awam dan Dalaman) TNB Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata ibu bapa juga harus memastikan anak masing-masing tidak menyentuh atau menghampiri kabel yang terputus akibat pokok tumbang terutama ketika hujan bagi mengelakkan berlakunya renjatan elektrik.

Katanya orang awam juga dilarang berada di kawasan premis TNB yang terdapat notis makluman potensi risiko kejutan eletrik.

"Jauhi daripada menceroboh kawasan pencawang atau pepasangan TNB yang dipasang notis tersebut bagi menggelakkan risiko renjatan serta pancaran arka daripada arus bervoltan tinggi.

"Selain kecederaan serius dan kehilangan nyawa, ia boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan gangguan bekalan kepada pengguna," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katan Mohd Aminuddin, aktiviti seperti bermain layang-layang, permainan helikopter, dron atau kapal terbang kawalan jauh di kawasan berdekatan talian atas bervoltan tinggi adalah tidak dibenarkan.

Membawa peralatan panjang seperti galah di bawah talian dan memancing ikan di kolam atau tasik di bawah talian juga mengundang risiko yang sama, katanya.

-- BERNAMA