Exco Kesihatan dan Pembangunan Sukan Negeri Melaka, Datuk Ab Rahaman Ab Karim mengingatkan supaya ibu bapa dan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam memilih lokasi riadah demi keselamatan dan kesihatan anak-anak.

Beliau berkata ada kalanya orang ramai begitu leka dengan bahaya wabak kencing tikus.

“Ahli keluarga seperti ibu bapa ketika berekreasi di luar rumah perlu memilih tempat yang benar-benar selamat,” kata beliau.

Sebelum ini seorang kanak-kanak, Umar Abd Qayyum Yassir Arafat, 12, maut akibat positif leptospirosis selepas bermandi-manda di Taman Rekreasi Gunung Tampin, Negeri Sembilan.

Bapa mangsa Yassir Arafat Mahat, berkata anaknya disahkan positif penyakit itu selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Tampin, Negeri Sembilan walaupun selepas itu mangsa terpaksa dirujuk ke Hospital Melaka apabila keadaan semakin kritikal.

Mangsa meninggal dunia Isnin lalu pada jam kira-kira 6.12 petang.


Yassir berkata anaknya mengalami demam panas, seminggu selepas mereka sekeluarga bermandi-manda di taman rekreasi itu.

Beliau berkata perubahan anaknya semakin teruk apabila badan mulai sejuk selain mengalami sakit perut dan berpeluh serta sering meminta air kerana dahaga.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repah, Tampin.

Yassir memohon pihak berkuasa segera mengambil tindakan dan melakukan pemantauan secara berkala di mana-mana lokasi riadah bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.