Orang ramai dinasihatkan agar tidak membeli atau menggunakan produk tidak berdaftar berlabel 'Delima Raja Urat' yang dijual sebagai ubat tradisional Melayu di pasaran.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Eisah Abdul Rahman berkata hasil ujian oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) mendapati produk itu mengandungi 'dexamethasone' iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.

"'Dexamethasone' adalah agen anti radang yang poten dan biasa digunakan dalam rawatan alergi, yang hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperolehi daripada farmasi dengan preskripsi doktor," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Katanya 'Dexamethasone' tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam ubat tradisional dan penggunaannya secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan
gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaukoma.

"Pesakit juga boleh mengalami 'Cushing's Syndrome' yang dicirikan dengan muka membulat (round face) dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil," katanya.

"Pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes (kencing manis) adalah berisiko tinggi dan dinasihatkan supaya tidak menggunakan produk ini, yang berkemungkinan dicampurpalsu dengan bahan terlarang kortikosteroid kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya mengakibatkan komplikasi serius," katanya.

Eisah berkata individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Katanya syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Beliau juga menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar ini untuk menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada [email protected] bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

"Orang ramai juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-78835400 atau melayari laman sesawang http://www.bpfk.gov.my.," katanya.