Tutup

Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dalam perniagaan MLM dengan Fingo

Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dalam perniagaan MLM dengan Fingo
Chong berkata kementerian telah mendapat aduan daripada orang ramai bahawa mereka akan menerima wang jika mereka mengambil ahli baharu untuk syarikat itu dan juga boleh mendapat komisen apabila ahli-ahli membeli produk syarikat. - Foto BERNAMA
KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menasihatkan orang ramai untuk tidak terlibat dalam perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dengan Fingo (M) Sdn Bhd dan memasarkan produk mereka di platform dalam talian e-dagang syarikat itu.

Timbalan Menteri Chong Chieng Jen berkata ini berikutan kementerian tidak mengeluarkan sebarang lesen jualan langsung kepada syarikat itu untuk menjalankan perniagaan MLM dan memasarkan produk di platform dalam talian e-dagangnya.
"Kementerian hanya mengeluarkan lesen jualan langsung kepada Fingo untuk memasarkan lima produk mereka seperti yang disenaraikan di bawah melalui kaedah tradisional dan konvensional (melalui ejen atau secara bersemuka), dan bukan melalui aplikasi dalam talian atau e-dagang," katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Lima produk itu ialah An-Nur Agar Shampoo, Sucian Dara, Sniper, 9030 Mix Honey with Cordyceps dan Lunia Bird Nest Ess Facial Mask.
Syarikat itu telah melancarkan Fingo, platform e-dagangnya, di Malaysia pada bulan lepas.

Chong berkata kementerian telah mendapat aduan daripada orang ramai bahawa mereka akan menerima wang jika mereka mengambil ahli baharu untuk syarikat itu dan juga boleh mendapat komisen apabila ahli-ahli membeli produk syarikat.

"Nasihat kementerian jika mana-mana skim MLM atau skim jualan langsung menjanjikan pulangan yang tinggi atas kerja yang minimum atau pulangan tinggi atas pengambilan ahli semata-mata, itu mungkin penipuan wang atau skim piramid yang bertentangan dengan undang-undang," katanya.

Chong berkata di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993, tiada seorang pun boleh mempromosikan atau menyebabkan supaya dipromosikan sesuatu skim piramid dan mana-mana orang yang melanggarnya adalah melakukan suatu kesalahan.

Jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan, didenda tidak kurang daripada RM1 juta dan tidak lebih daripada RM10 juta, dan jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan, didenda tidak kurang daripada RM500,000 dan tidak lebih daripada RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Chong berkata di bawah terma dan syarat lesen jualan langsung, syarikat itu juga tidak dibenarkan untuk memasarkan produknya melalui dalam talian kecuali dibenarkan untuk berbuat demikian, dan setakat ini tiada kebenaran diberikan.

"Setakat ini, kementerian telah menerima beberapa aduan bahawa Fingo mempromosikan aplikasi atau platform e-dagangnya dengan cara yang sama dengan kaedah jualan langsung. Oleh itu, siasatan sedang dijalankan," katanya.

Beliau menasihati orang ramai untuk membuat aduan kepada kementerian melalui portal laman webnya e-aduan@kpdnhep.gov.my atau melalui WhatsApp kepada 019-2794317 atau mengunjungi mana-mana pejabat kementerian di seluruh negara jika mereka mengetahui Fingo menjalankan kaedah pelbagai peringkat untuk menjalankan perniagaan untuk menarik orang ramai dan mempromosikan apa-apa jenis skim yang menjanjikan pulangan yang sukar untuk dipercayai.

-- BERNAMA


Tag: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP, pemasaran pelbagai peringkat, MLM, Fingo, Chong Chieng Jen



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.