Seekor orang utan ditemukan mati di sebuah dusun berhampiran Hutan Simpan Kabili-Sepilok, pada Rabu.

Jurucakap Jabatan Hidupan Liar Sabah, Siti Nur 'Ain Ampuan Acheh, berkata penemuan itu dilaporkan kepada jabatan itu oleh seorang petugas sebuah pusat peranginan berhampiran tempat kejadian.

Katanya, sejurus mendapat laporan itu, petugas dari Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok segera bergegas ke tempat berkenaan dan menemukan bangkai haiwan itu di atas tanah, tanpa sebarang kesan kecederaan.

"Siasatan awal tidak mengesyaki berlaku sebarang perbuatan khianat. Bedah siasat akan dibuat bagi menentukan punca kematiannya," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Sementara itu, Sapa, seekor gajah dewasa jantan, yang cedera terkena jerat dan diselamatkan petugas Jabatan Hidupan Liar Sabah di Sapagaya, Lahad Datu pada 1 Jun, mati di Santuari Gajah Borneo (BES) Rabu.

Siti Nur 'Ain berkata Sapa, yang ditangkap dan dibawa ke BES Kinabatangan untuk diberi rawatan lanjut, dijangka dilepaskan kembali ke hutan untuk sembuh sepenuhnya daripada kecederaan itu.

Katanya, kecederaan Sapa hampir sembuh sepenuhnya hasil rawatan pegawai veterinar dari Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) di santuari itu.

"Tetapi, Sapa didapati rebah pagi semalam, walaupun tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit pada hari sebelumnya. Haiwan itu kelihatan aktif dan berselera makan pada tengah hari Selasa.

"Ahli veterinar Jabatan Hidupan Liar Sabah merawatnya dengan memberi bendalir, antibiotik dan ubat antiradang. Malangnya, Sapa mati pada kira-kira 4 petang semalam. Bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca kematian haiwan itu," katanya.

Sementara itu, seekor bayi gajah berusia sekitar 2-3 minggu seberat 95.5kg, ditemukan di Ladang Brumas, Tawau, pada jam 3 petang, Selasa lalu.

Menurut Nur 'Ain, anak gajah itu, yang didapati berada dalam keadaan lemah, merayau-rayau bersendirian di sekitar ladang berkenaan.

Katanya, seorang pegawai veterinar dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Tawau memberi bantuan perubatan kepada haiwan itu di tempat ia ditemukan sebelum dihantar ke pusat perlindungan haiwan di Sepilok pada Khamis.

-- BERNAMA