KUALA LUMPUR: Ahli Lembaga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tan Sri Othman Mustapha dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun ini.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan dilakukan Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1443H itu adalah berdasarkan sumbangan cemerlang terhadap pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.

Othman ketika berucap menerusi rakaman video berkata beliau menganggap anugerah yang diterima itu sebagai amanah dan tanggungjawab beliau kepada agama dan negara, demi memastikan syiar Islam terus disemarakkan.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata akan terus menyumbang kepakaran ilmu bagi membangunkan masyarakat Islam, khusus di Wilayah Persekutuan supaya mampu berdaya saing, progresif, dinamik dan bersatu berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Harapan saya semoga Islam terus dipandang mulia dan masyarakat kita hidup dalam suasana harmoni, aman damai, serta selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia," katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2021 di sini, hari ini.

Anugerah Khas Individu pula diberikan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group Berhad Datuk Mohd Khay Ibrahim, manakala Anugerah Khas Organisasi bagi Kategori Masjid (Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan); Kategori Surau (Surau Jumaat Al-Hikmah Projek Perumahan Rakyat Beringin); dan Kategori Sekolah Rendah Agama atau Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) (SIRAJ Saidina Uthman bin Affan).

Bagi kategori Institut Pendidikan Islam Swasta pula diberikan kepada Sekolah Rendah Islam Cahaya Ummi, selain kategori Badan Bukan Kerajaan diberi kepada Persekutuan Seruan Islam Selangor Dan Wilayah Persekutuan (Jam'iyah).

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad ketika berucap merasmikan majlis tersebut berkata beliau mengajak agensi hal ehwal Islam terus bangkit bersama masyarakat, untuk membantu dan bina semula negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Dalam konteks Wilayah Persekutuan, adalah menjadi harapan saya, agar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bersama JAWI, terus melipatgandakan usaha memperkasa umat Islam dalam aspek pendidikan, sosioekonomi, kebajikan termasuklah aspek penyatuan dan perpaduan ummah," katanya.

-- BERNAMA