Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas terhadap Maahad Tahfiz di negeri ini yang gagal mematuhi aspek keselamatan, dengan menarik balik kelulusan dan menutup premis mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kasim berkata pihaknya telah mengarahkan aspek keselamatan di semua Maahad Tahfiz di negeri itu dipertingkatkan.

"Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap Maahad Tahfiz yang gagal mematuhi (aspek keselamatan) demi pelajar serta menjaga nama baik institusi pendidikan Islam yang sangat mementingkan aspek keselamatan,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) serta pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang akan mengadakan pertemuan dan taklimat khas dengan semua pentadbir Maahad Tahfiz di negeri ini dalam masa terdekat.

Menurutnya kerajaan negeri memandang serius pengurusan Maahad Tahfiz yang tidak mengambil berat aspek keselamatan pelajar kerana tidak mahu tragedi di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berlaku di negeri ini.

"Bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang, saya merakamkan ucapan takziah di atas tragedi yang mengorbankan anak-anak hafiz di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur semalam.

"Tragedi menyayat hati itu mengejutkan kita semua dan ia tentu menambahkan lagi catatan hitam dalam lipatan sejarah kebakaran Maahad Tahfiz di negara ini," katanya.

Dalam kejadian itu, seramai 21 pelajar dan dua guru rentung dalam kebakaran kira-kira 5.15 pagi semalam yang memusnahkan seluruh asrama di tingkat paling atas bangunan pusat tahfiz tiga tingkat berkenaan di Jalan Keramat Hujung.

Enam pelajar lain dan seorang awam turut cedera dalam kejadian itu.

-- BERNAMA