Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memanggil beberapa saksi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia susulan laporan akhir Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentang di Parlimen 7 April lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata saksi terdiri daripada individu syarikat itu serta mereka yang terbabit dengan 1MDB.


Beberapa individu lain, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi juga akan dipanggil selepas ini, kata Khalid.

Khalid dalam pada itu enggan menyatakan jumlah sebenar saksi terbabit.

“Saya tidak boleh tetapkan 10 orang atau 20 orang kerana ia bergantung kepada siasatan; siapa lagi perlu dipanggil, apa dokumen perlu kita minta untuk dikaji dan sebagainya.

“Jadi jangan tanya saya berapa (saksi) akan dipanggil, bila (siasatan) akan siap; bagi kita masa. (Setakat ini) ada beberapa orang telah dipanggil,” kata Khalid.

Beliau menjelaskan bahawa satu pasukan khas polis ditubuhkan Jumaat lalu dianggotai pegawai Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

Pasukan khas diketuai Khalid itu masih meneliti 106 muka surat laporan akhir PAC bagi melengkapkan siasatan sebelum menyerahkannya kepada pejabat Peguam Negara.

Khalid ditemui selepas menghadiri program derma darah di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di ibu negara, pada Khamis.