Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) merancang untuk membentangkan laporan siasatan tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion di Parlimen menjelang minggu depan.

Timbalan pengerusinya Wong Kah Woh berkata jawatankuasa itu dijangka diberi taklimat oleh Jabatan Audit Negara sebelum memuktamadkan laporan itu.

"Minggu depan kami akan mengadakan satu lagi taklimat oleh Jabatan Audit Negara . Kami akan mengkaji jika ada apa-apa untuk menambah (dalam laporan) dan maklum balas (dari Jabatan Audit Negara).

"Jika tidak ada apa-apa untuk menambah, maka kami akan cuba menutup (menyelesaikan semua prosiding) dan membentangkan laporan (di Dewan Rakyat) harap-harap pada minggu depan," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Selasa.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini berkata bahawa bekas kerajaan terdahulu gagal melunaskan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.47 bilion kepada 121,429 syarikat dan individu.

-- BERNAMA