Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) negeri Perak menggesa firma audit yang dilantik melakukan audit dalaman Taman Tema Animasi Studio (MAPS) segera menyerahkan laporan berkaitan isu berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Manaf Hashim, mendakwa sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang hasil laporan berkenaan walaupun bayaran penuh sebanyak RM400,000 sudah dilunaskan.

"Pengerusi (PAC) yang lalu mengatakan laporan sudah siap dan akan dibentangkan tetapi sampai sekarang pun (belum dapat)... saya sudah meminta urusetia untuk berhubung dengan mereka (firma audit).

"Kita sudah bayar kepada mereka, difahamkan yang pihak Perak Corporation Berhad (PCB) membayar RM200,00 dan kerajaan negeri pula bayar RM200,000... bermakna jumlah yang kita bayar (kepada firma itu) ialah RM400,000.

"Harap pihak (firma audit) dapat percepatkan laporan ini sebab saya difahamkan dulu (sebelum ini) kalau kita baca laporan akhbar dan sebagainya... katanya sudah siap," dakwanya.

Abdul Manaf berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Mesyuarat PAC Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PAC Perak, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.

Sehubungan itu katanya, surat untuk menyegerakan laporan itu telah diserahkan kepada firma berkenaan supaya ia dapat dibentangkan di mesyuarat akan datang.

"Ia sudah berlarutan lebih setahun, kami tertunggu-tunggu juga apa dapatan laporan forensik itu. Sebanyak RM400,000 yang dibayar adalah jumlah yang besar, saya rasa kita berhak untuk mendapatkannya (laporan) kerana itu pun duit rakyat juga," dakwanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan laporan audit MAPS akan diketahui seawal April tahun ini.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, laporan audit forensik yang dikendalikan PAC Perak telah disiapkan dan masih dalam penelitian.

Ahmad Faizal berkata pihaknya pasti membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya laporan audit mendedahkan terdapat sebarang bentuk salah laku.

Pengerusi PAC terdahulu, Leong Cheok Keng sebelum ini berkata, sebarang tindakan susulan memanggil mana-mana individu hanya dibuat selepas laporan audit forensik itu siap dan diserahkan kepada PAC.