Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak seharusnya menjadi penghalang untuk negara terus merencana kemajuan demi kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sudah tiba masa rakyat melihat ke hadapan untuk membina masa depan yang lebih cemerlang.

Jelas Najib, isu yang membelenggu syarikat pelaburan pembangunan itu seharusnya tidak dibangkitkan lagi, apatah lagi selepas laporan siasatan mengenainya telahpun dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Jadi apa lagi nak bising? Apa lagi yang tak puas hati?

"Janganlah sampai kita jadikan ini sebagai sesuatu yang menghambat kita, kita harus 'move on' untuk terus membangun sebagai sebuah negara," tegasnya ketika berucap menutup Perhimpunan Agung Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) ke-39 di Brickfields, hari ini.

Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat yang dibentang di Dewan Rakyat pada Khamis lalu menyatakan Najib tidak terlibat secara langsung dengan isu membabitkan syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, PAC mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Dalam pada itu, Najib menyeru KIMMA untuk terus setia bersama kerajaan dalam memastikan rakyat secara amnya dapat terus menikmati kesejahteraan di bawah pimpinan BN.

Jelasnya, peranan KIMMA dalam pembangunan sosio-ekonomi negara amat dihargai dan terus diperlukan, lebih-lebih lagi dalam menyusun barisan menuju pilihan raya umum akan datang.

Pada masa sama, Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader menyatakan sokongan kongres itu terhadap Najib serta mengharapkan kerajaan pimpinannya dapat terus membantu pembangunan komuniti India Muslim di negara ini.

"Dulu, kini dan selamanya KIMMA mahu tersu menjadi parti yang menyokong penuh serta setia kepada BN.

"KIMMA menyokong penuh kepimpinan YAB Datuk Seri serta mempertahankan Datuk Seri dari segala asakan, desakan, tohmahan, fitnah, cemuhan mahupun ugutan," ucapnya dalam perhimpunan yang dihadiri 1,680 perwakilan itu.