Padah berlagak samseng dengan memecahkan cermin sisi kenderaan lain yang enggan memberikan laluan di jalan raya, seorang pemuda didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu.

Majistret Lim Kim Keat menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohammad Shamirul Mohd saat, 24 tahun yang mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah memukul cermin sisi bahagian kanan kereta mangsa jenis Proton Persona menggunakan sebatang besi dan menyebabkan kerugian sebanyak RM300.

Tindakan itu dilakukan tertuduh sekitar 1 petang di tepi Jalan Jambatan Jalan Tun Mamat di sini pada 23 Disember 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 427 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh sebagai penumpang kereta Volkswagen telah memukul cermin sisi kereta mangsa hanya kerana tidak berpuas hati kerana enggan memberikan laluan jalan.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria memohon hukuman berat diberikan terhadap tertuduh kerana bersikap tidak rasional dan berlagak seperti samseng jalanan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman diringankan dengan alasan baru mendapat pekerjaan.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Kim Keat menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.