Tindakan seorang lelaki yang cuba menyogok anggota polis dengan wang tunai RM500 bagi membebaskan rakannya, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) akhirnya mengundang padah apabila suspek dicekup dalam kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.52 petang Rabu itu, polis terdahulu menahan seorang lelaki PATI yang berusia lingkungan 30-an di kawasan Putatan, dekat sini dan membawanya ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut.

Ketika anggota bertugas sedang membuat laporan berhubung tangkapan itu di balai berkenaan, pengadu (anggota polis) telah didatangi seorang lelaki tidak dikenalinya dan memperkenalkan dirinya adalah kenalan suspek PATI terbabit.

Suspek kemudian cuba menawarkan wang tunai berjumlah RM500 kepada anggota polis berkenaan sebagai sogokan untuk membebaskan rakannya.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek diberi amaran tiga kali supaya berhenti daripada meneruskan niatnya itu, namun tidak diendahkan suspek.

"Secara tiba-tiba suspek meletakkan wang tersebut di atas meja pengadu dan pengadu telah meminta supaya dia mengambil semula wang tersebut tetapi lelaki itu terus berlari keluar dari pejabat pengadu."

"Pengadu telah membuat tangkapan terhadap suspek kerana perbuatan suspek yang cuba memberi sogokan kepada pengadu walaupun telah diberi amaran."

"Pihak polis turut merampas wang tunai RM50 berlainan nombor siri berjumlah keseluruhan RM500 dipercayai wang sogokan yang cuba diberi kepada pengadu," katanya.

Menurut beliau, kes itu akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

"Dalam pada itu, kami di IPD Penampang ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali cuba memberikan rasuah atau sogokan kepada anggota polis yang menjalankan tugas."

"Sebarang tindakan sedemikian bukan sahaja boleh dikenakan undang-undang malah turut dirujuk kepada pihak SPRM untuk tindakan lanjut," katanya.