Sepasang suami isteri warga Thailand masing-masing didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, pada Isnin, kerana mengeksport tiga kepala babi hutan tanpa lesen di Padang Terap, minggu lalu.

Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman itu terhadap Charnchai Sitthiphan, 62, dan isterinya Phitsinee Sitthiphan, 60, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Kedua-dua tertuduh boleh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengeksport bahagian hidupan liar iaitu tiga kepala babi hutan, sejenis hidupan liar dilindungi bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), tanpa lesen di dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Yaris.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di laluan eksport Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung dalam daerah Padang Terap, sekitar jam 3 petang, 23 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 65 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dihukum mengikut seksyen sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak lebih setahun.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Mohamad Refaee Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.