POLIS menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes video khianat di sebuah kedai serbaneka di Seremban yang tular sejak Khamis.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad berkata, ketiga-tiga suspek ditahan kira-kira jam 3.45 petang Jumaat dan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat.

"Permohonan reman akan dibuat pada Sabtu di Mahkamah Majistret Seremban," kata beliau dalam kenyataan media.

Video suspek melakukan khianat di premis terbabit menjadi tular sejak semalam dalam perkongsian melalui akaun Twitter Pedoqpop.

Video berdurasi 1.10 minit itu antara lain memaparkan seorang lelaki bertindak memicit dan menekan makanan serta membuka minuman di premis terbabit.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu mendapat kecaman netizen.