Padah mencuri kabel elektrik, seorang lelaki koma selepas terkena renjatan elektrik milik Sarawak Energy Berhad (SEB) di Tudan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.25 petang itu, lelaki itu yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Miri.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, ketika ditemui di lokasi lelaki berkenaan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, terbaring dipercayai akibat kecederaan terkena renjatan elektrik.

"Mangsa koma serta tidak sedarkan diri sedang menerima rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Miri.

"Berdasarkan maklumat daripada doktor mangsa melecur seluruh badan,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik Bernama

Meng Seah berkata, berdasarkan maklumat dari SEB, mangsa disyaki cuba mencuri kabel di menara Tudan berdasarkan kerosakan berlaku di atas menara terbabit.

Katanya, anggaran kerugian dialami oleh SEB ialah RM20,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 serta 511 Kanun Keseksaan.