Pahang bebas daripada penyakit selesema burung (H5N1) selepas keputusan ujian ke atas 859 sampel unggas didapati negatif, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Beliau berkata sampel tersebut telah diambil oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar di 93 premis sembelihan unggas di seluruh negeri ini susulan kejadian wabak H5N1 di Kelantan baru-baru ini.

"Kita telah mengambil sampel ke atas unggas antaranya ayam ternakan, ayam kampung, ayam hutan dan itik sebelum mengujinya di makmal dan hasil ujian yang dibuat sejak 16 Mac lalu sehingga kini mendapati tiada penyakit H5N1 ditemui pada haiwan berkenaan.

"Sehubungan itu kita boleh isytiharkan negeri Pahang adalah bebas daripada penyakit tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Promosi dan Penerangan Akta Kebajikan Haiwan 2015 di sini, hari ini.

Program sehari itu lainnya bertujuan untuk mempromosikan dan memberi penerangan berkenaan Akta Kebajikan Haiwan 2015 kepada warga Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi berkaitan.

Shafik berkata bagi memastikan penyakit H5N1 tidak menular, pemantauan dan kempen kesedaran dilakukan secara berterusan di samping penubuhan bilik gerakan.

"Segala tindakan proaktif dan kesiapsagaan telah diambil bagi memastikan penyakit H5N1 tidak menular di negeri ini termasuk memberi pemantauan di laluan Gua Musang-Merapoh kerana ia merupakan pintu masuk penting dari Kelantan ke Pahang," katanya.

Beliau berkata pihak kerajaan negeri juga sedang memperhalusi draf peraturan rumah sembelihan unggas di Pahang dalam memastikan pengusaha melaksanakan proses sembelihan secara bersih dan mengikut prosedur.

"Setakat ini hanya ada tiga pusat sembelihan unggas yang mendapat sijil halal.

"Kita juga difahamkan terdapat kira-kira 180 premis yang beroperasi melakukan aktiviti sembelihan unggas ini, sebab itu kita memerlukan kerjasama bersepadu daripada semua agensi berkaitan untuk penguatkuasaan," katanya.

-- BERNAMA