Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said meminta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk keluar dari gabungan pembangkang sekiranya tidak terus komited bersama Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata Hadi tidak patut berkata adalah mengikut suka beliau untuk menghadiri mesyuarat sedangkan menghadiri mesyuarat tanggungjawab seorang pemimpin lapor The Malaysian Insider.

“Kamu mahu bergabung tetapi tak nak hadir. Apakah ertinya gabungan itu? Mesti ada rasa rendah diri dan sedikit rasa tolak ansur. Kalau tidak mahu ikut, jangan masuk. Duduk di luar saja. Saya fikir kadang-kadang pemimpin ini bermain di celah-celah akhbar. Dengan begitu, dia rasa agak terapung kuasanya.

“Yang jadi masalah Hadi sahaja. Hadi kata ‘jangan dipaksa saya hadir’. Itu bukan paksa, itu tanggungjawab,” tambah Samad Said yang mesra disapa sebagai Pak Samad kepada The Malaysian Insider.

Sebelum ini Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yakin presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang akan diadakan di Ibu Pejabat PAS, Ahad ini.

Mohamad berkata beliau dimaklumkan, Abdul Hadi akan menghadiri mesyuarat tersebut setelah sekian lama ia tidak diadakan.

Khamis lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilaporkan sebagai berkata wakil dari parti itu hanya akan menyertai mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat sekiranya Abdul Hadi hadir ke mesyuarat tersebut.

Alasan yang diberikan, kerana DAP tidak mahu pemimpin PAS membuat sebarang tindakan yang bercanggah dengan keputusan Pakatan Rakyat selepas mesyuarat itu.

Selain DAP, PKR juga berharap Abdul Hadi akan hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat esok.