Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyerahkan kepada pakar akademik untuk membuat penjelasan mengenai tuduhan sesetengah pihak bahawa konsep Rahmatan Lil Alamin adalah Rahmatan Lil Kafirin.

Tegasnya, beliau lebih selesa memilih untuk tidak mengulas mengenai tuduhan berkenaan dan memberi peluang kepada mereka yang lebih pakar membuat kajian berhubung Rahmatan Lil Alamin.

"Kita bermula dengan program pelancaran logo dan Bridge Walking di mana kita akan menanam pokok dan berjalan bersama mahasiswa dan mereka yang terlibat. Kita juga akan melancarkan buku yang ditulis para akademik mengenai Rahmatan Lil Alamin yang menjawab suara yang konon ia adalah menyimpang dan dituduh Rahmatan Lil Kafirin.

"Saya mengambil sikap untuk tidak menjawab tetapi dijawab melalui penulisan ahli akademik yang diberi kebebasan untuk bercakap apakah ia sebenarnya disiplin Rahmatan Lil Alamin yang sangat diperlukan dalam dunia hari ini,"katanya kepada media selepas merasmikan Logo dan Minggu Rahmatan Lil Alamin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Jumaat.

Logo Rahmatan Lil Alamin dipilih sebagai mencerminkan kepelbagaian kaum, kerahmatan dan Islam menjadi teras kepada konsep berkenaan.

Ahli akademik yang melakukan kajian berkenaan juga akan melakukan perbincangan melalui seminar dan pembentangan kertas kerja.

"Mereka juga akan berseminar, membentangkan kertas kerja dan berdiskusi secara ilmiah, jauh daripada politik tidak bertanggungjawab kepada suara-suara dan suasana yang tenang tentang betapa dasar ini akan memberikan kebaikan kepada Malaysia, dunia di mana negara kita penuh dengan perkauman, permusuhan, dan kita bentangkan dasar kerajaan untuk menyatukan rakyat di bawah Rahmatan Lil Alamin," katanya lagi.

Mujahid dalam pada itu menegaskan, tuduhan berkenaan tidak melunturkan semangatnya untuk terus memberikan penjelasan sebenar di sebalik dasar yang diterapkan Rahmatan Lil Alamin.

"Pastinya tidak (melunturkan semangat) sebab saya tertegak di atas kejelasan ini. Kalau perkara ini tidak jelas, takkanlah orang nak sambut dan orang nak sambut ini bukan lekeh-lekeh (sembarangan), mereka ialah profesor-profesor yang buat kajian bukan orang biasa," tambahnya.

Justeru, beliau merasakan cacian dan cemuhan sesetengah pihak mengenai Rahmatan Lil Alamin tidak perlu diendahkan dan kerajaan akan terus menanam sikap perpaduan kalangan masyarakat.

"Saya rasa nuansa-nuansa itu politik hanya untuk merendah-rendahkan atau sekadar untuk signikal, biarlah mereka dengan keadaan mereka. Saya akan meneruskan cita-cita ini sebab ia baik untuk negara dan yang lebih penting ia ada kepentingan negara dalam kita menyelesaikan isu perkauman dan permusuhan kaum yang semakin melebar ini," ujarnya lagi.

Pada masa sama katanya, Rahmatan Lil Alamin akan membawa Malaysia Baharu ke tahap yang lebih hebat dan mengatasi isu perkauman dan permusuhan yang merebak seperti virus dalam masyarakat.