PUTRAJAYA:Pakar pelbagai bidang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berlepas ke Sabah esok bagi melihat dan membantu memantapkan langkah kawalan COVID-19 di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada masa ini petugas barisan hadapan KKM dari pelbagai negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak sudah dihantar untuk membantu pejabat kesihatan negeri Sabah.

"Petugas dari negeri lain dihantar ke Sabah bagi memantapkan perkhidmatan, pengesanan COVID-19 di lapangan dan tindakan kesihatan awam di hospital terutamanya Hospital Tawau dan Semporna," katanya pada sidang media COVID-19 di KKM di sini, hari ini.

Beliau berkata KKM turut menghantar peralatan perlindungan peribadi (PPE) serta alat bantuan pernafasan ke Sabah, dan beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana membantu menghantar peralatan ke Tawau.

Ditanya mengenai kluster Bangau-Bangau yang menyaksikan kira-kira 65 peratus atau 276 daripada 421 orang yang diuji, Dr Noor Hisham berkata berdasarkan kepada penanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia bermakna lebih ramai individu dalam komuniti itu yang masih belum disaring.

"Dalam tempoh seminggu Kementerian kesihatan akan memberi tumpuan kepada aktiviti saringan di kawasan berkenaan," katanya.

-- BERNAMA