Pakatan Harapan (PH) selaku penganjur himpunan antikleptokrasi akan meneruskan perbincangan dengan pihak polis selepas permohonan mereka ditolak polis.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan pihak penganjur kekal memilih Padang Timur, Petaling Jaya sebagai lokasi perhimpunan pada Sabtu ini.

"Saya difahamkan penganjur akan mengadakan perbincangan dengan pihak polis tapi saya tak dapat maklumat yang terkini.

"Daripada maklum balas dan laporan yang saya terima mereka akan teruskan mengadakan perbincangan untuk menjamin keselamatan dan juga tidak berlaku kesesakan dan tidak mengganggu penduduk sekitar kawasan itu dan ia tertakluk kepada perbincangan yang dijalankan pihak penganjur,” kata Azmin selepas majlis Apresiasi Inovasi peringkat negeri Selangor 2017, di Shah Alam, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengarahkan penganjur himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokasi supaya menukar lokasi baru ke Stadium Kelana Jaya.

Katanya, lokasi Padang Timur tidak sesuai untuk perhimpunan besar selain pihaknya menerima empat laporan polis daripada penduduk sekitar.

Sementara itu, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata, tidak ada halangan dan membenarkan penganjuran himpunan tersebut.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata Padang Timur yang menjadi lokasi tapak himpunan tersebut adalah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Padang itu memang tiada halangan. Kita beri kebenaran kepada penganjur untuk adakan di Padang Timur. Jadi tak ada isu dengan kita.

“Kegunaan padang itu di pihak majlis sebab ia milik majlis, kita pemilik tanah, jadi kita benarkan,” kata Mohd Azizi kepada pemberita pada majlis sama.