Penurunan harga petrol, caj elektrik serta air lebih rendah dan menghapuskan tol, itu antara janji Pakatan Rakyat (PR) dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Manifesto bertemakan "Pakatan Harapan Rakyat" itu dibentangkan sebagai manifestasi perpaduan antara PKR, PAS dan DAP dalam menghadapi persaingan pilihan raya diumum di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli ketika membentangkan manifesto berkenaan berkata ia dibentuk berasaskan empat tonggak utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat.

Mengambil ilham daripada Buku Jingga Manifesto menggariskan program dan dasar khusus yang akan dilaksanakan sekiranya PR berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan Putrajaya.

Manifesto yang dicetak dalam enam bahasa ini akan diedarkan ke seluruh negara sebagai persiapan Pakatan dalam menghadapi PRU-13.

Antara program yang dijanji akan dilaksanakan ialah mewujudkan Caruman Wanita Malaysia dimana suami diwajibkan mencarum RM10 ke RM100 sebulan ke dalam tabung caruman berkenaan.

Sementara itu PR juga berhasrat memberikan pendidikan percuma kepada rakyat sekaligus menghapuskan hutang PTPTN.