Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyampaikan nasihat dan amanat kepada sekumpulan murid-murid Tahun Enam yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pagi ini.

Menerusi video di Instagram miliknya, beliau yang membahasakan dirinya sebagai Pakcik, dilihat mengunjungi beberapa sekolah sebelum menghadiri mesyuarat Kabinet pagi ini.

“Yang penting, jangan takut. Apabila kita takut, kita risau, kadang-kadang benda yang senang pun kita tak boleh jawab.

“Pakcik harap, buat yang terbaik, dapat keputusan yang terbaik. Pada pakcik, apa pun keputusan periksa, yang penting awak cemerlang dalam apa pun yang awak masuk.

“Awak belajar, awak cemerlang. Awak masuk sukan, awak cemerlang. Awak masuk kokurikulum, awak cemerlang. Itu yang pakcik nak pada anak semua,” katanya menerusi video itu.




UPSR 2019 bermula hari ini dan akan berlangsung esok, 10, 11 dan 12 September depan.

Ia melibatkan seramai 445,641 orang calon di 8,076 pusat peperiksaan seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut 434,177 calon merupakan calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, sementara 11,464 calon lagi merupakan calon sekolah swasta.

Maszlee dalam postingnya turut menyatakan sokongan kepada anak-anak yang menduduki peperiksaan dan menambah, akan sentiasa mendoakan kejayaan semua calon UPSR tahun ini.