Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya diminta menilai dan menyiasat kembali pakej harga haji dan umrah yang ditawarkan ketika ini.

Ini kerana harga murah yang ditawarkan agensi-agensi yang tidak berdaftar dikenal pasti menjadi penyebab utama penipuan pakej umrah dan haji berlaku di negara ini.

Pendedahan itu disuarakan Setiusaha Kehormat Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Jeffri Sulaiman.

Menurutnya, harga lantai yang ditetapkan kementerian bagi pakej berkenaan adalah RM4,900, maka sebarang harga yang ditawarkan di bawah harga tersebut dipelopori agensi penipuan pakej umrah dan haji.

Seterusnya bakal jemaah mudah tertarik dengan tawaran di bawah paras lantai yang ditetapkan tersebut.

"Penipuan ini berlaku kerana ada penerima dan pemberi. Kalau penerima tak terima, tentu takkan berlaku. Masalahnya sekarang benda ini ia berlaku atas jemaah itu sendiri. Harga tu yang penting," ujar Jeffri.

Tambah beliau, ekoran itu ia menjadi cabaran untuk PAPUH untuk menambah baik sistem pengurusan serta perkhidmatan persatuan tersebut.

Itu termasuk menyediakan kemudahan seperti pemeriksaan visa atas talian serta lesen muassasah dan kebajikan para jemaah di Tanah Suci.

Justeru, bagi menyelamatkan bakal jemaah daripada menjadi mangsa sindiket ini PAPUH segera melancarkan e-PAPUH yang mana akan membantu menangani masalah penipuan keatas bakal jemaah.

"Pertengahan bulan Februari ini kita akan lancarkan e-PAPUH dan juga call center 24 jam. Maka, kalau jemaah yang membeli pakej e-PAPUH boleh dapat akses talian 24 jam sekiranya punyai masalah setibanya di Mekah.

"Ingin saya tegaskan juga, penipuan selalunya berlaku di tanah air kita sendiri. Penipuan tidak akan berlaku semasa di Arab Saudi," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam program Taklimat dan Pameran Agensi Haji dan Umrah yang bertempat di City Hotel, Alor Setar, pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah Asiafiq Corporate Sdn Bhd, Mohd Firdaus Johari yang mewakili pihak agen insurans pelancongan haji dan umrah.