Pakej pelancongan domestik sepatutnya dikenakan kadar sifar atau pengecualian cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana ia menjana wang sepanjang masa selain boleh memastikan aliran ringgit kekal berada dalam negara.

Demikian cadangan yang dikemukakan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Hamzah Rahmat dalam satu sidang media MATTA Fair 2015 di ibu negara hari ini.

“Kami bagi pihak MATTA ingin mencadangkan pengecualian cukai ini kepada pihak atasan termasuk ingin bawa perkara ini kepada Perdana Menteri sekitar Ogos ini.

"Pengecualian ini perlu memandangkan pelancongan domestik boleh menjana wang sepanjang masa dan mengelakkan aliran keluar Ringgit.

“Cadangan ini akan melibatkan pelbagai saluran selain Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kewangan. Kami juga sudah berbincang dengan pasukan pelaksana GST itu sendiri.

“Walaupun belum menunjukkan hasil, kami berharap cadangan ini mendapat pertimbangan sewajarnya,” ujarnya.

Menurut Hamzah, setakat ini GST hanya dikenakan pada pakej pelancongan domestik sedangkan bagi destinasi luar negara, yang dikenakan hanyalah cukai lapangan terbang iaitu sebanyak RM3.90.

“Sebagai contoh, rakyat tempatan yang membeli pakej ke Pulau Sentosa, Singapura tidak dikenakan GST tetapi mereka yang mahu ke Legoland di Johor perlu membayarnya pula,” katanya.

Bagaimanapun, Hamzah mengakui sejak GST dilaksanakan empat bulan lalu, pengusaha pelancongan dalam dan luar negara kini dalam mod perlahan kerana mengalami tempias antara 30 hingga 40 peratus.

“Namun, ia tidak bermakna rakyat negara ini tidak ada pilihan untuk bercuti. Bagi yang sudah terbiasa dengan aktiviti ini, mereka tetap akan mencari pakej yang bersesuaian dengan bajet mereka.

“Masyarakat kini berubah. Walaupun dengan kekangan kuasa berbelanja, rakyat Malaysia tetap mahu bercuti. Jika tidak ke luar negara, pakej domestik menjadi pilihan.

“Orang masih melancong juga ke negara tertentu, malah nilai tukaran Ringgit kepada matawang seperti Yen atau Rupiah masih baik,” katanya.

Tarikan MATTA Fair 2015

Sementara itu, penganjuran MATTA Fair pada 4 hingga 6 September 2015 bakal menyaksikan kawasan pameran meliputi enam buah dewan dengan ruang seluas 27,400 meter persegi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sejumlah 1,234 gerai pameran akan mengambil tempat dengan penyertaan 143 organisasi serta 94 ejen pelancongan.

Bagi destinasi tempatan, Tourism Malaysia mengisi 70 gerai pameran manakala Sabah mendahului negeri lain dari aspek ruang penyertaan terbesar dengan mengambil tempat di 16 gerai pameran.

Selain terdapat ruang Pavilion Umrah yang bakal mempromosikan pakej tersebut bersama ziarah ke destinasi-destinasi berkaitan, tarikan MATTA Fair kali ini juga merangkumi penyertaan organisasi pelancongan antaranya dari Bulgaria, Turki, India, Australia, Macau dan Nepal.

Indonesia dan Korea pula bakal membawa bersama kumpulan kebudayaan dan artis masing-masing untuk menjayakan persembahan hiburan.