Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) Tambahan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu memberi sedikit keupayaan untuk bertahan.

Walaupun tambahan dana RM10 bilion itu mungkin boleh mengelakkan pengangguran, namun menurut Peguambela dan peguamcara, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, bidang perkhidmatan dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang sama harus diberi perhatian juga.

“Tidak semua sektor PKS mampu menarik nafas lega jika hanya fokus kepada perniagaan jualan sahaja.

“Bidang perkhidmatan dalam sektor PKS yang sama seperti firma-firma guaman, seni bina (arkitek) firma-firma audit dan seumpamanya harus diberi perhatian juga.

“Bidang-bidang ini memainkan peranan penting kerana turut menyumbang pada pertumbuhan eknomi negara. Maka bantuan Tambahan yang dimaksudkan ini perlulah fleksibel terhadap seluruh sektor PKS yang terkait,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA: PRIHATIN TAMBAHAN: Geran Khas PRIHATIN RM2.1 bilion bantu perusahaan PKS mikro

BACA: Pakej PRIHATIN Tambahan: Kerajaan umum tambahan RM10 bilion untuk PKS, perusahaan mikro

BACA: 'Tanpa pinjaman Lee Beauty Saloon, Mi Kolok Hj Salleh, Syarikat Surjit Kaur hanya mampu bertahan sebulan'

Irmohizam menyarankan kerajaan agar memberi kelonggaran kepada PKS yang berdaftar dengan badan profesional kerana terdapat firma profesional di bawah kluster PKS yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, syarat tersebut harus dilonggarkan agar bidang perkhidmatan yang penting itu dapat dikekalkan.

“Kerajaan juga disarankan dapat memberi kelonggaran syarat-syarat pinjaman mahupun bantuan kepada para graduan serta golongan baru berjinak-jinak untuk mencipta perniagaan konsep baharu (gig economy) agar dapat membuka serta mencipta ruang ekonomi dan mencipta pasaran kerja baru.

“Tahap kebergantungan kepada kerajaan perlu diminimakan, maka perlu ada usaha dan idea serta kreativiti yang baik bagi mengharungi cabaran ekonomi impak wabak pandemik seperti ini dalam memastikan penerusan survival usahawan-usahawan baru di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya terdapat garis panduan asas dalam terma khas dalam perjanjian antara majikan dan pekerja.

Ujarnya, kesaksamaan dalam mengimbangi keperluan antara majikan dan pekerja tidak mustahil untuk dicapai biarpun ia agak sukar.

“Mungkin unjuran moratorium boleh dipanjangkan selama enam bulan bagi caruman majikan bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO agar beban tersebut dapat diringankan dengan memberi jaminan tiada pekerja dapat diberhentikan.

“Tidak wajar jika majikan terbeban dan tidak berupaya mematuhi caruman sehingga terpaksa memberhentikan pekerja. Maka perkara ini harus dituntut bagi menjamin terhadap semua pihak,” katanya.