Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) berterima kasih kepada kerajaan atas pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Menurut Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, insentif melebihi RM250 billion itu memanfaatkan hampir kesemua sektor serta rakyat yang terjejas itu mampu memulihkan kembali kuasa beli pengguna ketika menghadapi pandemik COVID-19.

"Seperti yang kita semua maklum, sebahagian besar rakyat Malaysia berasa lega dengan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Presma percaya dengan insentif diberikan, ia mampu menggerakkan ekonomi negara yang berada dalam keadaan tidak menentu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita gembira kerana sekurang-kurangnya dengan insentif ini, kuasa beli pengguna akan kembali pulih, ekonomi kembali rancak malah semua sektor termasuk peruncitan, perdagangan dan apa juga aktiviti perniagaan akan aktif kembali," katanya dalam kenyataan yang diedarkan.

Namun begitu, Presma mencadangkan kepada kerajaan agar dapat mempertimbangkan pemansuhan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam masa terdekat untuk tempoh setahun.

Kata Jawahar, menerusi pengenalan kadar cukai yang rendah, peniaga khususnya pemilik restoran dapat menyediakan makanan dan minuman pada harga jauh lebih renda sekali gus dapat membantu rakyat.

"Selama ini perniagaan ahli-ahli Presma disokong oleh rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kami bukanlah restoran untuk golongan berada, bilik berhawa dingin sepanjang masa, sebaliknya menu yang kami sediakan adalah menu pilihan rakyat Malaysia sejak berpuluh tahun yang lalu.

"Justeru, dengan kadar cukai yang rendah, kami yakin dapat membantu rakyat negara ini menikmati harga berpatutan dan duit yang ada itu juga boleh digunakan bagi tujuan lain," kata beliau lagi.

Sejak PKP dilaksanakan, kata Jawahar, pendapatan ahli Presma telah menyusut sehingga 80 peratus kerana tidak dapat beroperasi sepenuhnya seperti biasa dan ia memberi kesan besar terutama bebanan membayar gaji kakitangan, bil utiliti serta kos lain yang tinggi.

Presma juga berpendapat, kadar levi untuk sektor perkhidmatan juga wajar dikurangkan kepada RM1,200 iaitu sama seperti kadar sebelum ini,untuk tempoh dua tahun.

"Pengurangan sebanyak RM600 itu boleh memberikan penjimatan kepada syarikat dan menjadikan kami mampu untuk membayar levi seperti diputuskan kerajaan.

"Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga diminta mempertimbangkan untuk memberikan pengecualian cukai bagi tahun 2019 dan 2020 serta menangguh kutipan PCP 2020 yg dibayar secara bulanan," kata Jawahar lagi.