Kerajaan dijangka akan memberi bantuan terus kepada tiga sektor yang terjejas akibat wabak koronavirus (COVID-19) dalam pengumuman pakej rangsangan ekonomi yang bakal diumumkan pada 27 Februari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berkata kerajaan akan menumpukan bantuan tersebut kepada sektor penerbangan, peruncitan dan pelancongan.

Bagaimanapun, kata Dr Ong, perincian lanjut mengenai bantuan terus berkenaan hanya akan diketahui melalui pengumuman oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis depan.

“Perniagaan yang terjejas paling teruk boleh menjangkakan kerajaan akan memberi lebih banyak bantuan terus kepada mereka yang membabitkan tiga sektor iaitu pelancongan, peruncitan dan penerbangan.

"Jadi, untuk industri termasuklah sebagai contoh acara perniagaan. Kami yakin ia akan diberi perhatian dalam pakej rangsangan ekonomi," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Zon Dagangan Pintar (STZ) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MITEC, Gunther Beissel; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Tan Sri Abdul Rahman Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus.

Mengulas mengenai perkembangan lain pula, susulan penularan COVID-19, beliau menjangkakan perniagaan akan pulih pada separuh kedua tahun ini.

“Ia tidak boleh dinafikan bahawa banyak acara termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-17 2020 (MIHAS 2020) yang terkenal di peringkat serantau dan antarabangsa telah ditundakan.

“Saya berpendapat ia langkah yang bijak memandangkan ramai pelanggan dan pempamer mungkin masih berasa bimbang untuk datang ke Malaysia pada waktu ini.

“Bagaimanapun, saya menjangkakan perniagaan akan pulih dengan cepat pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

MIHAS 2020 yang dijadualkan berlangsung 1 hingga 4 April ini ditangguhkan kepada 1 hingga 4 September depan.