Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia berharap dapat terus menjalinkan kerjasama rapat dengan kerajaan baharu Malaysia bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Pesuruhjaya Tingginya Mohammad Nafees Zakaria berkata hubungan Pakistan dan Malaysia sudah terjalin sekian lama, dan beliau percaya bahawa hubungan diplomatik dapat dimantapkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2018 di Seri Perdana di sini hari ini.

Mohammad Nafees berkata beliau dan pegawainya berharap akan dapat menjalinkan kerjasama baik dengan Menteri Luar Malaysia yang baharu bagi memperbaharui jaminan dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara Pakistan dan Malaysia.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia Julia G. Bentley berharap hubungan yang lebih seimbang dengan Malaysia.

Beliau juga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakyat Malaysia, dan terkejut dengan kehadiran khalayak begitu ramai menyambut Dr Mahathir pada majlis rumah terbuka itu, yang pertama kali diadakan selepas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

-- BERNAMA