Ibu kandung kepada seorang kanak-kanak yang dipercayai dipaksa menghisap syabu berkata dia bertindak merakam video anaknya itu semata-mata untuk menyakitkan hati bekas suaminya.

Dakwanya, paip yang dipegang kanak-kanak di dalam video yang menjadi tular itu sebenarnya kosong dan tidak mengandungi sebarang jenis dadah.

Wanita berkenaan membuat pengakuan itu selepas disoal siasat di ibu pejabat polis Daerah Kuala Muda, di sini hari ini.


Dia sebelum itu ditahan jam 1.30 petang tadi di Taman Gurun Jaya.

Wanita terbabit kemudiannya dibawa bersama kanak-kanak terbabit ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk mengambil sampel darah dan air kencing.

Hasil keputusan air kencing mendapati wanita dan kanak-kanak terbabit negatif dari sebarang jenis dadah.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, wanita berkenaan bagaimanapun tidak direman kerana sedang mengandung lapan bulan.

Bagaimanapun, teman lelaki wanita terbabit masih diburu polis.

Pada petang Isnin, nenek kanak-kanak terbabit yang berusia 53 tahun tampil membuat laporan polis selepas melihat tujuh rakaman video yang tular di media sosial memaparkan kanak-kanak terbabit didakwa dipaksa menghisap dadah.