Reaksi terhadap projek kereta nasional baharu berbeza-beza disebabkan kekurangan maklumat, dengan beberapa pihak mempersoalkan keperluan untuk projek itu manakala yang lain berharap ia akan menggunakan teknologi terkini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mencetuskan idea itu semasa lawatannya ke Jepun, menjelaskan bahawa cadangan itu adalah berasaskan kehendak sektor swasta.

Penganalisis Maybank Investment Bank Ivan Yap berkata ini hanyalah merupakan pengumuman awal tanpa pelan sebenar diperincikan.

"Sukar untuk memberikan komen sekarang kerana semuanya hanyalah berasaskan kepada andaian," katanya kepada Bernama.

Sama ada sumber komponen kereta baharu itu akan diperoleh dari negara jiran seperti Thailand, Yap berkata ia bergantung kepada pelan perniagaan syarikat yang melaksanakan projek itu.

Beliau juga berkata ada kemungkinan China menukar semula pelaburannya dalam Proton jika sebuah syarikat kereta kebangsaan baharu diwujudkan.

Semasa lawatan tiga hari ke Jepun, Dr Mahathir menyebut rancangannya untuk memulakan syarikat kereta nasional, dengan memetik penjualan ekuiti Proton kepada pembuat kereta China, Geely, tahun lepas sebagai alasan.

"Projek sedemikian akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan keupayaan kejuruteraan Malaysia, seperti yang telah dilakukan kerajaan ketika ia menubuhkan Proton.

"Kita perlu mewujudkan peluang untuk jurutera melakukan kerja mereka sendiri di sini," katanya.

Perdana Menteri berkata syarikat kejuruteraan Malaysia juga boleh meraih manfaat daripada trend globalisasi semasa dengan pengeluar utama menyumber komponen dan alat ganti dari negara lain.

"Kita boleh menghasilkan komponen untuk kereta berjenama di Malaysia dan untuk eksport. Ini akan memberi kita banyak pertukaran asing," katanya, sambil menambah syarikat Malaysia perlu meningkatkan kecekapan mereka.

Seorang lagi penganalisis yang enggan namanya disiarkan berkata jika Malaysia mahu memulakan satu lagi kereta nasional, negara wajar menumpukan kepada standard tertinggi dan menggunakan teknologi terkini untuk menghasilkan kereta elektrik dan autonomous.

"Ia (kereta elektrik atau autonomous) adalah kereta nasional baharu jika kita mahu tumpukan, bukannya sekadar jenama kereta lain di jalan," katanya.

Penganalisis itu berkata walaupun komponen kereta yang dicadangkan itu diperoleh dari negara-negara jiran, kereta itu masih dianggap sebagai 'kereta Malaysia' kerana ia dibina dalam negara.

"Dalam ekonomi globalisasi hari ini, setiap negara mempunyai kelebihan tersendiri dalam perdagangan. Malah iPhone (Apple) yang dihasilkan di China, dengan komponen disumber luar dari pelbagai kawasan di dunia, ia masih dianggap sebagai telefon pintar AS," katanya

Beliau berkata Dr Mahathir bukanlah asing dalam memulakan syarikat menggunakan teknologi asing dan rakan asing kerana beliau pernah menggunakan strategi itu untuk Proton, yang kemudiannya digunakan oleh Perodua.

Namun persoalannya ialah sama ada kereta nasional itu sesuatu yang kita perlukan hari ini. dunia kini bergerak ke arah revolusi perindustrian keempat dan kereta biasa te keluar daripada skop itu," katanya.

Bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin pula menggesa kerajaan supaya melabur dalam pengangkutan awam, termasuk penghubung terakhir, serta memberi insentif untuk mengimport kenderaan jimat bahan api atau kereta elektrik.

"Dan, pastinya bukan satu lagi projek kereta nasional," kata Ketua Pemuda Umno itu dalam catatan Twitternya

-- BERNAMA