Tindakan kerajaan India memanggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke negara itu baru-baru ini, tidak menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata tindakan itu adalah amalan lazim mana-mana negara bagi mendapatkan penjelasan dalam isu tertentu dari negara lain dan dalam hal ini, ia membincangkan secara khusus mengenai pindaan Akta Kewarganegaraan negara tersebut.

"Kita tidak mengetahui sama ada India berpuas hati atau tidak, tetapi Pesuruhjaya Tinggi kita menyatakan pendirian kita iaitu berbaik dengan semua negara tak kira latar belakang dan ideologi... malah negara yang tidak mengamalkan demokrasi pun kita ada hubungan baik termasuk dalam aspek ekonomi.

"Kita tidak campur tangan dalam hal ehwal sesebuah negara tetapi jika berlaku sesuatu insiden atau perkara yang pada pandangan kita menimbulkan persoalan dari segi demokrasi, kebebasan, hak asasi dan perundangan maka kita mungkin perlu sampaikan pandangan kita. Itu saja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Terminal Kuantan Sentral di sini hari ini, yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Hamdan Hussin.

BACA: India panggil Duta Malaysia berhubung kenyataan Tun Mahathir - Laporan

BACA: India tingkat tahap keselamatan susulan protes yang kian memuncak

BACA: 'Kenyataan saya, milik saya' - Dr Mahathir tidak peduli jika India anggap beliau salah

Pada 22 Dis lalu, media melaporkan kerajaan India memanggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di negara itu bagi memaklumkan bantahan rasmi terhadap kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung isu pindaan perlembagaan negara tersebut.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menambah hubungan kedua-dua negara tidak terjejas kerana lazimnya sesebuah kerajaan dapat membezakan kenyataan politik yang dibuat pimpinan negara daripada hubungan ekonomi dan perniagaan.

"Sebagai contoh, hubungan Malaysia dengan Myanmar. Mereka tahu pendirian kita tentang masyarakat Rohingya tetapi dalam masa sama, peniaga kita di sana berniaga seperti biasa," katanya.

Mengenai tindakan badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang turut menyatakan pendirian terhadap undang-undang baru kewarganegaraan India, Saifuddin berkata mereka boleh berbuat demikian di bawah amalan kebebasan bersuara namun pendirian mereka tidak mewakili kerajaan.

Pada perkembangan lain, Saifuddin berkata empat projek pembangunan di Taman PSJ, Taman Bandar, Pantai Batu Hitam dan Astaka Beserah di sini, telah dimulakan dengan peruntukan kira-kira RM4 juta daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

"Kita juga ada berbincang dengan MPK berhubung beberapa lagi projek naik taraf sebagai persediaan untuk Kuantan yang turut melibatkan kawasan Parlimen Indera Mahkota yang akan dinaiktaraf sebagai bandaraya tahun hadapan," katanya.

-- BERNAMA