Biarpun sambutan Aidilfitri kali ini cukup berbeza tanpa tradisi pulang ke kampung beraya bersama keluarga tercinta dan meneruskan aktiviti ziarah ke rumah rakan-rakan tahun ini, kemeriahan hari kebesaran itu tetap dirasai melalui aplikasi panggilan video yang digunakan ramai sebagai pengganti diri.

Tidak kira tua mahupun muda, ramai memanfaatkan teknologi komunikasi itu untuk menatap wajah-wajah yang dirindui di pagi Syawal, seolah-olah mereka terasa begitu dekat walaupun nun jauh di kampung halaman dek kerana kekangan pergerakan rentas negeri berikutan ancaman wabak COVID-19.

Jika sebelum ini gambar swafoto bersama keluarga dan rakan menjadi kewajipan untuk dijadikan hantaran di laman sosial, namun kali ini tangkap layar panggilan video secara berkumpulan pula menjadi pilihan untuk disiarkan menandakan kemanisan Syawal tetap diraikan dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan.

Bagi Nur Habibah Abdul Halim, 25, yang sudah hampir tiga bulan tidak dapat pulang ke kampung halaman susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, panggilan video disifatkan beliau sebagai satu cara baharu 'bersua muka' dengan keluarga tercinta.

Mengakui sedih tidak dapat bersalaman dan berpelukan di pagi raya seperti kebiasaan, beliau yang kini sedang menjalani latihan industri di sebuah kilang di Johor cukup teruja menerima panggilan video dari ibu tercintanya yang kini berada di Kuala Berang, Terengganu, pagi Ahad

"Pagi tadi apabila mak buat video call ucap Selamat Hari Raya, saya begitu teruja sebab mak saya tak berapa pandai guna teknologi macam ini. Rasa sangat lega walaupun tengok muka dalam telefon sahaja. Sekurang-kurangnya saya tahu keluarga sihat," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Zaki Md Yakin, 30, berkata kebiasaannya rumah beliau yang terletak di Kampung Bubul, Semporna, Sabah menjadi tumpuan sanak saudara serta rakan-rakan setiap kali Aidilfitri, namun berbeza kali ini kerana beliau hanya mengehadkan tetamu pada hari raya pertama sahaja.

Walaupun begitu, beliau tidak menjadikan perkara itu sebagai penghalang untuknya mengingati sahabat karibnya sejak zaman universiti yang berada jauh di Kuala Lumpur serta yang tinggal di sekitar Semporna.

"Masih ada peluang untuk kita berhari raya melalui panggilan video, dapatlah kita saling bermaafan dan mengucapkan Selamat Hari Raya tanpa perlu berjumpa. Bak kata pepatah jauh di mata dekat di hati," katanya.

Lain pula bagi penjawat awam, Aisha Hani Nor Azmir, 24, kecanggihan teknologi telefon pintar bukan sahaja terhad kepada panggilan video, bahkan membolehkan beliau turut 'bergambar' bersama keluarga biarpun tidak dapat beraya bersama di Ipoh, Perak.

Melalui aplikasi suntingan video, gambar raya bersama-sama keluarga diabadikan menggunakan teknik tampalan dan skrin hijau, yang sudah pasti mampu mengubati kerinduan beliau apabila tidak dapat pulang bertemu keluarga sejak empat bulan lepas.

-- BERNAMA