Pangkalan data kesihatan mental diperlukan - Dr Lee

Pangkalan data kesihatan mental diperlukan - Dr Lee
Dr Lee (tiga kiri) semasa melancarkan program Walk The Talk sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2019 di Ipoh hari ini. - Astro AWANI
IPOH: Kementerian Kesihatan bercadang membangunkan pangkalan data mengenai kesihatan mental rakyat Malaysia yang dilihat semakin membimbangkan.

Dalam masa sama, kementerian berharap Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang mengklasifikasikan cubaan bunuh diri sebagai satu jenayah dapat dipinda.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, sekiranya berlaku cubaan bunuh diri, mangsa sebenarnya lebih memerlukan rujukan kepada pakar psikiatri, bukannya dakwaan jenayah.

"Ini akan mengakibatkan doktor-doktor mengelak daripada buat laporan apabila ada kes bunuh diri. Jadi, pangkalan data yang kita ada, sebenarnya, under reporting.

"Jadi kita mahukan satu pangkalan data yang lebih tepat, yang menunjukkan keadaan yang sebenar.

"Kita harus anggap cubaan bunuh diri ini sebagai penyakit, dan bukan jenayah - penyakit yang perlu dirawati. Ini sepatutnya cara yang lebih baik, pendekatan yang lebih baik, seperti mana yang dilakukan di banyak negara," kata Dr Lee.

BACA: Kementerian Kesihatan wujud Kerangka Kerja Kebangsaan Penyakit Jarang Jumpa

BACA: 'Jangan klasifikasikan cubaan bunuh diri sebagai perbuatan jenayah'

BACA: Kesihatan mental: Tangani sebelum parah

Beliau ditemui selepas melancarkan program ‘Walk The Talk’ sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2019 anjuran Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, hari ini.

Berdasarkan statistik, sebanyak 356 kes bunuh diri dilaporkan di seluruh negara dari 2014 hingga Jun 2019.

Mengikut laporan teknikal Kementerian Kesihatan pula, kadar kelaziman masalah kesihatan mental di kalangan mereka yang berumur 16 tahun ke atas adalah 29.2 peratus.