Demi menyelamatkan seekor anak beruk yang terbelit wayar tiang telekomunikasi, anggota bomba sanggup memanjat tiang setinggi 10 meter dalam kejadian di Taman Budi, Pasir Hor semalam.

Anak beruk berusia tujuh bulan bernama Black itu berjaya dibawa turun anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tunjung tanpa sebarang kecederaan.

Pegawai Bomba Kanan II Suhardi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kecemasan jam 5.25 petang sebelum tiba di lokasi.

"Didapati seekor anak beruk terbelit tali wayar di tiang telekomunikasi dan pihak kami mengambil masa kira-kira 18 minit untuk membawa turun haiwan itu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, difahamkan haiwan peliharaan itu terlepas tali ketika bermain dengan anak pemiliknya sebelum bertindak memanjat tiang telekomunikasi berdekatan.

Bomba mengambil masa kira-kira 18 minit untuk membawa turun anak beruk itu. - Foto JBPM

Bagaimanapun, anak beruk itu tidak bernasib baik apabila dia terbelit pada wayar telekomunikasi sebelum pemiliknya menelefon bomba untuk meminta bantuan.

"Bomba berusaha menggunakan tangga sambungan bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat anak beruk itu," katanya.

Beliau berkata, operasi menyelamat itu disertai lapan anggota yang diketuai oleh beliau sendiri.

Haiwan itu kemudiannya diserahkan kepada pemiliknya, Muhammad Fakaruddin Abdul Ghani selepas diselamatkan.