Pantang larang 'Jangan Tikam Belakang' dan taat setia dalam seni bela diri warisan silat Melayu perlu dihayati dan dicontohi oleh setiap lapisan masyarakat bagi mempertahankan kubu perpaduan yang telah lama wujud di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata sejarah membuktikan bahawa kerajaan Melayu Melaka mampu bertahan sekian lama apabila seni bela diri ini telah berjaya mendidik generasi lampau patuh dan taat kepada pemimpinnya sehingga ianya sukar diganggu-gugat oleh pihak luar.

"Silat mendidik seseorang itu untuk menjauhi sebarang bentuk persengketaan dan permusuhan, sebaliknya ia mengajak kita ke arah pemuafakatan dan kedamaian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perhimpunan Persilatan Melayu Johor 2016 di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar yang turut dihadiri Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Johor Abdul Wahid Abu Talib di sini malam tadi.

Beliau berkata silat telah diumumkan sebagai warisan negara, maka ia perlu diterima oleh setiap rakyat yang mengaku bahawa mereka taat setia kepada negara.

"Adalah penting untuk kita terus mengekalkan warisan negara ini bagi mendidik generasi muda untuk terus mempertahankan kedaulatan negara pada masa hadapan.

"Jika dahulu, penaklukan menggunakan tentera namun pada hari ini keadaan berbeza apabila orang luar menggunakan rakyat negara tersebut sebagai senjata untuk menakluk negara berkenaan seperti mana yang berlaku di luar negara," katanya.

Razali berkata unsur murni dan pantang larang dalam persilatan mampu memberi lebih kekuatan kepada negara kerana ianya mampu mengelak sebarang bentuk persengketaan yang boleh menghancurkan negara.

"Kita ingin membina jati diri dalam masyarakat agar ketahanan minda yang ada mampu menangkis sebarang bentuk ancaman luar," katanya.

"Ia (silat) perlu dijadikan sebagai titik pertemuan untuk kita sama-sama mempertahankan negara kita dalam cabaran hari ini kerana orang luar sentiasa mempunyai naluri untuk menakluk.

"Kita tidak nampak serangan itu kerana ianya bukan datang dalam bentuk bala tentera sebaliknya pada dunia masa kini, penaklukan berlaku dalam banyak cara sama ada dari segi ekonominya ataupun minda," katanya.