Papagomo ditahan kerana siar kenyataan berbaur hasutan

Papagomo ditahan kerana siar kenyataan berbaur hasutan
Mohamad Fuzi berkata, Papagomo juga dilihat cuba menaikkan sentimen perkauman. -
IPOH: Penahanan Blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo dibuat kerana tindakannya menyiarkan kenyataan-kenyataan menerusi video berbaur hasutan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Papagomo juga dilihat cuba menaikkan sentimen perkauman.
Sehubungan itu, tegasnya, polis perlu mengambil tindakan sewajarnya seperti menahan atau menangkap kerana isu perkauman yang dibangkitkan boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Kita tidak mahu perkara berkaitan perkauman dibangkitkan dalam keadaan luar biasa. Jika dibiarkan, ia akan menimbulkan masalah lain dari segi keselamatan.

"Jadi kita bukan sahaja mengambil tindakan terhadap Papagomo ini tetapi semua yang terlibat terutama mereka yang menggunakan media sosial untuk menimbulkan keadaan tegang dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak antara Datuk Hasnan Hassan dan pemangku, Datuk Razaruddin Husain di Ipoh.

Wan Muhammad atau Papagomo ditahan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur, Jinjang awal pagi ini untuk membantu siasatan dipercayai berhubung perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember ini.