Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan urusan pentadbiran sekolah akan diambil alih oleh pembantu pentadbiran secara berperingkat bagi mengurangkan bebanan tugas guru.

Beliau berkata lagi sekurang-kurangnya seorang pembantu pentadbiran akan ditempatkan di setiap daripada 10,000 buah sekolah di negara ini secara berperingkat.

"Kita sudah putuskan 10,000 petugas dihantar secara berperingkat supaya beban guru dapat diserahkan kepada petugas baru ini bagi menguruskan hal berkaitan pentadbiran” katanya.

Aktivis pendidikan, Datin Halimah Said melahirkan sokongan padu terhadap pengumuman tersebut.

“Para guru memang sudah lama memerlukan pembantu untuk urusan di luar kelas, dan keputusan ini amat wajar serta dapat meringankan beban guru” katanya lagi.

Dengan keputusan tersebut, guru-guru dapat memberi tumpuan kepada tugas pengajaran di dalam bilik darjah dan tidak terbeban dengan tugasan di luar bidang mereka.

Nor Azizah Nordin, seorang guru di salah sebuah sekolah menengah di ibu negara turut setuju dengan keputusan itu dan mahukan perkara itu diadakan segera.

“Bidang di dalam bilik darjah tidaklah memberi masalah kepada guru-guru, cuma bidang di luar bilik darjah seperti kehadiran pelajar, pendaftaran pelajar yang perlu dibuat secara online yang sebenarnya memberi beban kepada guru kerana perkara itu memerlukan masa untuk menyelesaikannya” tambahnya lagi.

Ikuti perbualan telefon lanjut ersama dua pendidik ini bersama video yang disediakan Astro Awani.