Parang yang diikat dengan galah sepanjang tiga meter telah digunakan sebagai senjata untuk membunuh seorang lelaki yang sedang tidur di Kampung Melayu, Subang, di sini, pada Isnin lepas (28 Nov).

Tiga lelaki termasuk seorang bekas anggota polis, dipercayai telah melakukan jenayah itu melalui tingkap bilik tidur mangsa berkenaan, hanya dengan upah RM1,200 setiap seorang.

Ini semua akibat cemburu seorang lelaki warga Indonesia apabila isteri keduanya diganggu, dan dia bertindak mengupah ketiga-tiga lelaki itu untuk membunuh lelaki yang mengganggu isterinya di rumah berkenaan, pada pukul 2.30 pagi hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata isteri mangsa yang menyedari kejadian berkenaan, sempat merampas galah itu tetapi ketiga-tiga lelaki itu dapat meloloskan diri.

"Mangsa yang ditikam itu dikenali sebagai Yanto, 20an, mengalami pendarahan parah di perut dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh oleh isterinya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata mangsa disahkan meninggal dunia dua hari kemudian selepas dirawat di hospital itu.

Ditanya pemberita sama ada suspek yang mengupah tiga lelaki itu turut terlibat dalam cubaan membunuh mangsa, Abdul Aziz berkata suspek itu dipercayai bertindak sebagai dalang.

Keempat-empat mereka ditahan di Kampung Melayu Subang pada Jumaat lepas.

Bekas anggota polis yang ditahan itu, merupakan anggota yang dipecat daripada perkhidmatan kerana mempunyai kes salah laku, katanya.

Kesemua mereka ditahan reman seminggu untuk siasatan lanjut. -- Bernama