Kehadiran parasit dalam bekalan air mentah dan terawat di negara-negara di Asia Tenggara berpotensi membawa risiko bagi penyebaran penyakit, kata Naib Presiden Persatuan Akademi dan Pertubuhan Sains di Asia (AASSA) Prof Datuk Dr Khairul Anuar Abdullah.

Beliau berkata sehubungan itu, perkara berkenaan memerlukan perhatian segera untuk dilaksanakan langkah-langkah pencegahan yang perlu.

Katanya usaha sama peringkat serantau telah diadakan untuk mengumpul data semasa menggunakan kaedah standard bagi pensampelan parasit bawaan air dalam kalangan negara ASEAN sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam ucap tamanya pada Persidangan AASSA-Akademi Sains Malaysia (ASM) di sini, pada Rabu, Dr Khairul Anuar turut mengambil perhatian akan peranan penting sektor kesihatan dalam mempromosikan bekalan air lebih berkualiti untuk memaksimumkan kebaikan kesihatan sekiranya diperlukan bagi intervensi.

"Komponen utama bagi peranan ini ialah pemantauan berkala terhadap bekalan air bagi menilai kemajuannya dalam memenuhi sasaran adalah konsisten dengan matlamat kesihatan awam negara dan untuk mengenal pasti bidang utama bagi intervensi," katanya yang mengupas isu penyakit bawaan air di negara ASEAN.

Dr Khairul Anuar mengambil perhatian usaha dalam menyelesaikan soal bekalan air juga penting, menyatakan banyak negara di Asia telah melaksanakan usaha itu seperti Sungai Mekong yang China berkongsi dengan negara-negara Asia Tenggara atau Sungai Brahmaputra yang mengalir dari Tibet ke India dan Bangladesh.

"Oleh itu, penyediaan perkhidmatan air yang selamat dan mampan kepada semua penduduk Asia adalah satu cabaran," katanya.

Beliau menegaskan memastikan bekalan dan pengurusan air mampan dan sanitasi untuk semua akan memberikan impak signifikan terhadap kesihatan manusia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majlis, yang merasmikan persidangan dua hari itu berkata, Malaysia turut berdepan pelbagai cabaran berkaitan penyakit bawaan air.

Berhubung persidangan itu, beliau berkata ia adalah platform strategik bagi semua rakan kongsi untuk membincangkan dan bertukar-tukar pandangan tentang isu yang menyelubungi penyakit itu untuk faedah masyarakat umum.

-- BERNAMA