Malaysia perlu mewujudkan satu akta khusus berkenaan angkasa lepas sebagai persediaan menghadapi industri angkasa lepas global yang semakin pesat membangun selain menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam industri berkenaan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, akta seumpama itu antara lain akan membolehkan penyelarasan hal-hal berkaitan perlesenan dan ruang udara roket dilaksanakan.

"Akta ini juga akan membolehkan kita meratifikasikan beberapa perjanjian angkasa lepas antarabangsa... semuanya ada enam, kita kena buat sekurang-kurangnya lima, dan ia hanya boleh dilaksanakan selepas adanya akta khusus ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya.

Madius menjawab celahan Julian Tan Kok Ping (DAP-Stampin) yang ingin tahu bagaimana syarikat swasta boleh memohon lesen roket untuk menerbangkan roket di dalam negara bagi tujuan percubaan sepertimana dibuat syarikat seperti SpaceX di Amerika Syarikat.

Madius berkata akta berkenaan penting walaupun negara sudah mempunyai Dasar Angkasa Negara 2030, yang antara lain bertujuan memastikan sektor angkasa dapat dimanfaatkan dan menyumbang kepada bidang pertumbuhan ekonomi baharu yang strategik. -- Bernama