Penganjuran Parlimen digital yang disertai oleh 222 belia pada hari ini memperlihatkan anak muda tidak lagi terus memilih untuk berada di belakang tabir sebaliknya sudah berani menyuarakan pendapat mereka untuk menjadi sebahagian daripada pengubal undang-undang negara terutamanya ketika negara berdepan dengan pandemik.

Bekas Ahli Parlimen Belia, Rahman Hussin berkata, meskipun perjalanan untuk mencapai ke destinasi menerusi inisiatif Parlimen Belia mengambil sedikit masa namun Parlimen Belia terbukti melahirkan anak-anak muda yang berfikiran kritis dan kritikal dalam membantu menyumbangkan idea mereka dalam sistem eksekutif negara.

"Dulu kita dengar anak muda hanya melaungkan pendapat mereka namun dengan inisiatif ini (Parlimen Belia) membuktikan anak-anak muda bukan sahaja memberi pandangan mengenai undang-undang tetapi terlibat secara langsung bersama memberi pandangan," katanya pada Buletin AWANI di sini, pada Sabtu.

Seramai 222 anak muda melakar sejarah pada persidangan Parlimen pertama yang dijalankan secara maya di negara pada Sabtu.

Dalam persidangan yang bermula pada pukul 9 pagi ini, mereka membahaskan usul bagi mewujudkan pelan rangsangan ekonomi khusus untuk golongan belia.

Mengulas mengenai sistem partisan politik, Rahman menambah, masyarakat melihat pada parti politik dan bukanlah pada inividu yang mempunyai keazaman politik.

Malah katanya, sistem ini bukan sahaja diguna pakai di Malaysia, sebaliknya di mana-mana negara demokrasi di dunia, dan ia menjadi satu cabaran untuk meletakkan satu garis untuk membezakan keazaman politik parti atau individu.

Menjelaskanya, beliau berkata partisan politik bukanlah satu kekurangan namun ia adalah kriteria yang perlu ada pada setiap ahli politik kerana ia membolehkan satu-satu ahli politik membuat keputusan berdasarkan kepentingan sejagat.

"Mereka cuba mencari titik persamaan antara kedua-dua entiti itu bagi mewakili masyarakat umum dan juga kepentingan parti politik itu sendiri.

"Namun di sini, Ahli Parlimen Belia yang mengamalkan sistem pendekatan partisan mempunyai satu kelebihan yang hari ini kita tidak dapat dilihat dalam mainstream politik," ujarnya.