Syarikat perlombongan nadir bumi, Lynas Sdn Bhd di Gebeng, telah mengemukakan kepada kerajaan pelan atau lokasi tapak pembuangan kekal (PDF) bagi sisa atau buangan industrinya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin berkata cadangan itu kini di peringkat penelitian oleh kementerian dan agensi berkaitan.

"Ini bermakna Lynas mematuhi syarat operasi yang ditetapkan di bawah lesen operasi sementara (TOL)," katanya ketika menjawab soalan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khmis.

Pembinaan PDF itu merupakan syarat pertama yang perlu dipenuhi Lynas bagi membolehkannya beroperasi walaupun sebelum ini kilang itu telah mendapat lesen operasi sementara daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).



Menurut syarat itu, Lynas perlu mengemukakan kepada kerajaan pelan atau lokasi tapak pembuangan kekal (PDF) dalam masa 10 bulan walaupun ia mendakwa sisa atau buangan industrinya akan dikitar semula sepenuhnya. Tempoh 10 bulan berakhir pada Selasa lepas.

Fuziah bertanya sama ada kementerian merancang untuk memanggil semula panel antarabangsa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke Kuantan untuk mengkaji impak pemprosesan loji Lynas itu terhadap alam sekitar setelah ia mula beroperasi menggunakan lesen sementara (TOL).

Mengenai panel pakar IAEA, Dr Ewon berkata kerajaan sememangnya berhasrat untuk menjemput pakar antarabangsa itu bagi menilai pelaksanaan saranan yang telah dibuat kepada kerajaan Malaysia berikutan hasil lawatan misi panel pakar bebas antarabangsa pada 29 Mei hingga 3 Jun 2011.

Lawatan IAEA itu mungkin akan dilakukan pada penghujung tahun depan apabila tempoh TOL syarikat itu tamat, katanya.