Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beranggapan bahawa persidangan parlimen yang diadakan selama sehari pada 18 Mei tidak menepati syarat-syarat persidangan Dewan Rakyat.

Jelasnya, ia bagaimanapun terpulang kepada pakar-pakar undang-undang menyatakan sama ada sesi parlimen itu benar-benar mengikut peraturan yang betul atau tidak.

“Sepatutnya persidangan itu dibahas dan selepas dibahas seperti biasa kita akan mengundi. Tetapi ini kita tidak boleh bahas, kita tidak boleh undi.

“Jadi ini bukan menepati syarat-syarat persidangan dewan rakyat. Ini juga tidak menepati peraturan-peraturan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mesyuarat ini untuk kita cuma dengar ucapan kerajaan melalui Yang di-Pertuan Agong. Ini bukan mesyuarat parlimen,” jelas Dr Mahathir menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya pada Rabu.

Sumber Facebook TunDrMahathir

Beliau juga beri tanggapan bahawa pemilihan kerajaan pada ketika ini tidak sama sekali menepati undang-undang.

“Saya anggap bahawa pemilihan kerajaan ini tidak menepati undang-undang, itu terpulanglah kepada pakar pakar undang undang, menyatakan sama ada sidang satu hari ini betul betul sidang parlimen mengikut peraturan peraturan.

Terdahulu, Persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung 18 Mei ini hanya akan menyaksikan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam satu kenyataan berkata pindaan itu dibuat selepas menerima surat pemakluman daripada Perdana Menteri selaku Ketua Eksekutif, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BACA: Parlimen: Tiada sidang, hanya Titah Diraja