PUTRAJAYA: Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan parti politik tidak boleh memfailkan saman fitnah terhadap individu.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf yang mengetuai panel itu, berkata mahkamah telah menjawab ‘secara negatif’ persoalan undang-undang yang dikemukakan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng untuk membatalkan saman yang difailkan terhadapnya oleh MCA.

Isu perundangan itu ialah sama ada parti politik mempunyai kapasiti untuk meneruskan saman fitnah berdasarkan keputusan kes Goldsmith lwn Bhoyrul (1998), undang-undang kes Inggeris yang memperuntukkan bahawa parti politik tidak boleh memfailkan saman fitnah.

Dalam membenarkan rayuan Lim, Hakim Rohana mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Lip Eng agar saman itu dibatalkan.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Rohana berkata, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Lim.

Beliau juga berkata mahkamah akan memberikan alasan penghakiman kes itu.

Dalam prosiding yang dijalankan menerusi sidang video, Sri Ram berhujah bahawa sesebuah parti politik tidak boleh memfailkan saman fitnah, berdasarkan keputusan dalam kes Goldsmith lwn Bhoyrul dan Rajagopal lwn Jayalalitha.