PAS bakal menganjurkan satu sesi tele-persidangan dengan bekas korporal polis Sirul Azhar Umar, Isnin ini pada jam 11.30 pagi, kata Ketua Penerangannya Datuk Mahfuz Omar, lapor KiniTV.

Menurut beliau, Sirul akan bercakap dengan media dalam sesi selama kira-kira 15 minit itu, di mana pemberita boleh mengajukan soalan kepadanya.

"Saya bercadang kepada dia dan bersetuju untuk berkomunikasi kepada semua media," kata ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam video rakaman sidang media oleh KiniTV.

Bagaimanapun, Mahfuz merasakan tidak mungkin Sirul akan mendedahkan kesemua maklumat berhubung pembunuhan wanita warga Mongolia itu.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa Sirul akan mengadakan satu perjumpaan dengan media di pusat tahanannya di Australia, di mana media dari Malaysia juga akan dijemput.

Bagaimanapun katanya Sirul masih mencari masa yang sesuai untuk mengadakan pertemuan tersebut.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib tun Razak telah menyifatkan dakwaan Sirul yang dirinya hanya bertindak mengikut arahan sebagai "mengarut".

Beliau berkata demikian sejurus selepas memberikan ucapan Tahun Baru Cina di mana wartawan mengajukan soalan tentang beberapa dakwaan Sirul termasuk “orang penting yang mempunyai motif” dalam kes itu masih bebas.

Najib pada mulanya menggelengkan kepala berkali-kali dan mula beredar tetapi apabila diasak wartawan, beliau kemudiannya menjawab “mengarut” sambil tersenyum.

Sirul yang kini berada di Australia dalam satu temubual bersama Malaysiakini mendakwa dia hanya mengikut arahan dan pihak yang mempunyai motif untuk membunuh Altantuya masih bebas.