PAS menganggap pengumuman Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menjual sebidang tanah di projek Tun Razak Exchange (TRX) sebagai "suatu yang menjanggalkan".

Justeru, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa supaya satu suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat isu pembelian tanah bernilai RM188.5 juta itu.

"Hal ini kerana ia bukanlah penyelesaian kepada isu pokok iaitu mengapa wang Tabung Haji dipergunakan untuk 'bailout' 1MDB?" soal Mahfuz

Mahfuz turut mempersoakan adakah tindakan pengumuman penjualan tanah tersebut dibuat demi meredakan kemarahan orang ramai kepada pengurusan Tabung Haji ketika ini.

Beliau juga menganggap jaminan bahawa kononnya terdapat pihak yang berminat untuk membeli tanah tersebut "tidak lebih sekadar untuk melengkapkan drama indah" isu tersebut.

Sementara DAP pula berpendapat penjelasan yang dibuat oleh TH semalam tidak memadamkan hakikat perjanjian itu dianggap langkah penyelamatan (bailout).

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata TH membeli tanah itu pada harga RM2,773 kaki persegi yang mana empat tahun lalu 1MDB membelinya dengan harga RM64 satu kaki persegi.

"Oleh itu, fakta bahawa TH merancang untuk menjual sebidang tanah minggu depan tidak relevan kepada hakikatnya bahawa 1MDB telah diselamatkan oleh dana Tabung Haji," katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu juga mempersoalkan mengapa TH pada mengambil risiko memegang tanah itu bagi pihak 1MDB untuk mencari pembeli sedangkan firma pelaburan itu boleh terus menjualnya kepada pembeli.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam satu kenyataannya mendakwa rakyat Malaysia kecewa dengan penjelasan TH yang disifatkan hanya satu pengesahan melaksanakan 'tugas suci' membayar RM188.5 juta kepada 1MDB.

BACA: Rakyat Malaysia kecewa dengan penjelasan Tabung Haji: Husam

Isu pembelian tanah milik 1MDB oleh TH ini mendapat perhatian beberapa pihak antaranya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi tulisan di blognya, Dr Mahathir mendesak supaya urusan pembelian tanah seluas 1.5 ekar itu dibatalkan.

BACA: Wang ini bukan milik Tabung Haji, kenapa guna untuk selamatkan 1MDB? - Tun M

Pemuda UMNO pula menggesa pengurusan TH dan Kementerian Kewangan agar memberi penjelasan berhubung pembelian tanah tersebut.

BACA: Tabung Haji, sila beri penjelasan berhubung jual beli tanah TRX - Pemuda UMNO

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula sependapat dengan Pemuda UMNO dalam isu berkenaan.

BACA: Tabung Haji: Muhyiddin sokong kenyataan Pemuda UMNO

​Manakala Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempertikaikan tindakan TH yang membeli hartanah milik 1MDB dengan nilai RM188.5 juta itu.

BACA: 'Kenapa TH sanggup bayar harga begitu tinggi untuk tanah 1MDB?' - Mukhriz